Abstract:

Penggunaan Internet oleh kanak-kanak di Malaysia semakin meningkat terutamanya semasa
musim pandemik Covid-19. Kanak-kanak yang menggunakan Internet terdedah kepada pelbagai
ancaman siber dan ini menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh membahayakan bukan sahaja diri
sendiri, malah rakan, dan keluarga. Sehubungan dengan itu, pengetahuan dan kesedaran awal yang
berkaitan dengan keselamatan siber memainkan peranan penting bagi membentuk tingkah laku dan
etika dalam penggunaan Internet. Oleh yang demikian, aplikasi ini dibangunkan bagi memberikan
didikan kepada kanak-kanak mengenai risiko dalam talian dan cara terbaik melayari Internet dengan
lebih selamat. Selain itu, kanak-kanak juga akan didedahkan kepada undang-undang siber dan
maklumat salah guna aset melalui aplikasi ini. Aplikasi ini juga direka untuk membantu ibu bapa dan
penjaga mempelajari serta memahami maksud dan isu keselamatan siber. Aplikasi ini dibangunkan
menggunakan perisian Android Studio, Java, Kotlin, dan Cloud Firestore. Metodologi Air Terjun digunakan
dalam pembangunan aplikasi, di mana ia yang merangkumi lima peringkat iaitu perancangan, analisis,
reka bentuk, pelaksanaan dan pengujian. Tinjauan juga dilakukan bagi mengumpulkan maklum balas
pengguna mengenai aplikasi yang dibina. Antaranya ialah, tinjauan paparan yang digunakan bagi
memastikan paparan yang diguna pakai mudah difahami dan mesra pengguna. Selain itu, sebuah
butang maklum balas juga dicipta untuk mengumpul cadangan penambahbaikan daripada pengguna
semasa mereka menggunakannya. Pada kesimpulannya, aplikasi ini merupakan suatu alternatif yang
dapat menambahbaik pengetahuan keselamatan siber. Dengan ini kesedaran awal dari peringkat
kanak-kanak dapat membentuk masyarakat yang lebih selamat sejajar dengan kemajuan teknologi
pada masa hadapan.